
(Kembara ini dilaksanakan
oleh Wan Nor pada bulan Mei 2004. Maklumat di bawah tepat pada waktu tersebut).
Pulau Redang terletak di
luar pantai Negeri Terengganu. Ia adalah antara pulau-pulau yang mempunyai
pantai tercantik di dunia. Pelbagai hidupan laut yang biasa dan luar biasa
dapat dilihat di sini. Taman Laut (Marine Park) nya menjadi kunjungan pelancong
seluruh dunia. Sayang sekali kalau orang tempatan tidak menikmati kelebihan
tempat sendiri. Perjalanan ke sana mengambil masa lebih kurang 45 minit dengan
bot laju dari jeti pantai Merang. Pantai Merang terletak lebih kurang 40 km ke
utara Kuala Terengganu menyusuri jalan pantai.
Seperti Langkawi di Kedah,
Pulau Redang adalah gugusan pulau-pulau kecil dan besar. Salah satu pulau ini
ialah Taman Laut (Marine Park) yang menjadi tumpuan pelancong seluruh dunia.
Snorkeling sangat popular di
sini. Pantainya yang landai dan cetek. Pasirnya putih bersih. Airnya jerneh.
Anda tidak perlu pergi jauh untuk melihat hidupan laut beraneka jenis, bentuk
dan warna. Ikan-ikan ini sangat jinak seperti dipelihara. Mereka akan
menghampiri anda hanya dengan beberapa menabur cebisan roti dan biskut di permukaan air. Anda tidak perlu pandai
berenang untuk aktiviti snorkeling kerana ianya berlaku di tepi pantai di dalam
sempadan yang dilingkungi oleh rantaian pelampung. Tanda sempadan ini
diletakkan oleh Jabatan Laut untuk melindungi snorkelers dari dilanggar bot
yang berulang-alik dari pulau ke pulau ataupun skuter air atau ski air. Kesimpulannya snorkeling ialah aktiviti yang
paling selamat, mudah dan sesuai untuk semua golongan umur. Peralatan
snorkeling disediakan oleh tour operator dan selalunya termasuk dalam pakej
pelancongan.
Satu lagi aktiviti popular
di sini ialah selaman skuba (scuba diving).
Jika snorkeling tidak perlu
pengalaman dan sesuai untuk kanak-kanak, scuba diving hanyalah untuk mereka
yang terlatih. Peralatan termasuklah pakaian khas, balang gas oksigen, bot dan pemandu yang mesti disewa. Kemudahan
sewaan peralatan ini terdapat di Taman Laut dan juga resort-resort lain.
Aktiviti ini popular di kalangan pelancong luar negara.
Sukan air lain seperti ski
air, skuter air disediakan oleh resort-resort yang beroperasi di kepulauan
Redang. Sukan air bermotor tidak dibenarkan di Taman Laut dikhuatiri merosakkan
hidupan laut seperti ikan-ikan exotik dan terumbu karang. Gelanggang bola
tampar pantai boleh dilihat di sepanjang pantai di mana ada resort.
Perkhemahan berkumpulan juga
dianjurkan tetapi semakin berkurangan sekarang. Rujuk kepada tour operator
anda.
Taman Laut ialah kawasan
terpelihara. Pelancong dilarang membawa keluar semua jenis hidupan laut dari
kawasan ini. Pada hari saya ke sini sebuat bot TLDM lengkap bersenjata
kelihatan membuat rondaan mengawal keselamatan kepulauan Redang. Selain ancaman
lanun, terdapat juga bot-bot menangkap ikan haram di sekitar kawasan ini. Kita mengucapkan syabas kepada tentera
laut kita!
Tiada bayaran dikenakan
untuk memasuki Taman Laut. Saya rasa ianya sebahagian dari tambang bot.

Suasana lengang di jeti
pendaratan bot di Taman Laut (Marine Park) melewati waktu tengahari. Pelancong
membanjiri kawasan jeti ini untuk snorkeling di awal pagi. Pengusaha bot
pelancong selalunya bertolak awal ke
Redang dan pulang pun awal ke tanah
besar (jeti Merang) untuk mengelakkan ribut dan ombak besar di waktu lewat
petang. .

Snorkeling di tepi pantai. Pastikan anda dan anak anda memakai jaket keselamatan.

Kebersihan tanggongjawab setiap orang! Tong sampah seperti ini adalah pandangan biasa di Taman Laut.

DI resort inilah kami singgah sekejap untuk makan tengahari. Perjalanan dari pulau ke pulau menggunakan bot yang sama dari jeti Merang ke Taman Laut. Resort seperti ini menyediakan kemudahan selaman skuba.

Island for sale, anyone? Salah sebuah tanjung di Redang.

Kejernehan air laut seumpama di kolam renang. Pantai yang cetek sesuai utk kanak-kanak bersnorkeling.

Sebuah bot TLDM bersenjata lengkap mengawasi perairan Redang.

Bot laju ini mengambil masa lebih kurang 45 minit ke Pulau Redang dari jeti Pantai Merang, bergantung kepada keadaan cuaca. Tambang 2-hala RM50-RM60.
Tambang bot pergi-balik
(Jeti Merang – Pulau Redang – Jeti Merang) lebih kurang RM50-RM60.
Pakej bernilai RM150 seorang
(minima 15-20 orang) boleh dirunding di luar musim puncak (peak season). Pakej
ini termasuk tambang bot pergi-balik, makan tengahari, lawatan ke Taman Laut
dan beberapa pantai menarik.
Tambang teksi dari Lapangan
Terbang Kuala Terengganu ke Jeti Merang lebih kurang RM60 sehala.
Tambang untuk satu teksi
dari stesen teksi bas di tengah-tengah Bandar Kuala Terengganu ke Jeti Merang
lebih kurang RM35.
Tambang bas --- tidak
diketahui!
Ada beberapa kaedah
pengangkutan hendak ke Pulau Redang.
Kapalterbang:
Malaysia Airlines dan Air
Asia mempunyai penerbangan terus dari KLIA ke Kuala Terengganu. Dari KT anda
boleh menaiki teksi ke Jeti Pantai Merang.
Memandu:
Jika anda dari Kuantan,
Pahang, anda akan melintasi Bandar Kuala Terengganu terlebih dahulu. Ikut tanda
arah ke Kota Bharu. Selepas menyeberangi jambatan Sultan Mahmud yang merintasi
Sungai Terengganu, anda akan sampai ke sebuah bulatan (lebih dikenali sbg
bulatan Batu 6). Ikut arah ke Batu Rakit dan Penarik. Jarak dari KT ke jeti
Pantai Merang lebih kurang 40 km.
Jika anda dari Kota Bharu,
Kelantan, belok ke kiri di Bandar Permaisuri. Ikut tanda arah ke jeti Pulau
Redang (jangan keliru dengan jeti ke Pulau Perhentian yang terletak di Kuala
Besut!)
Nota: Jika memandu ikut had
laju yang ditetapkan. Jangan jadi sebahagian drp statistik kemalangan
jalanraya.
Sampai di jeti Merang, anda
kena naik bot ke Pulau Redang. Bot laju mengambil masa 45 minit. Kebanyakan bot
bertolak pergi awal pagi dan bali awal tengahari kerana selalunya laut
bergelora di waktu petang. Jeti Merang tidak mempunyai banyak kemudahan dan
sangat sibuk di musim cuti (umum atau sekolah). Jika anda memandu sampai ke
jeti, kereta boleh disimpan di sini sehingga beberapa lama dengan sedikit
bayaran (macam Kuala Kedah atau Kuala Perlis untuk ke Langkawi). Ada kawasan
berpagar dan pengawal keselamatan. Bayaran mengikut hari dan kereta. Saya tak
pasti berapa RM.

Sebuah resort 4-bintang atau lebih di Pulau Redang – “Laguna Beach Resort”
Sedikit sejarah.
Dari segi sejarah, Taman
Laut ini berpenghuni tetapi disebabkan pembangunan industri pelancongan yang
pesat, penduduk asal pulau ini telah dipindahkan di satu tempat khas siap dengan
kemudahan bermasyarakat. Tapak kawasan perkuburan lama di Taman Laut dapat
dilihat dengan jelas. Seorang pemandu pelancong tempatan memberitahu saya
kuburan ini tidak lagi digunakan sekarang. Penduduk-penduduk tempatan yang
telah dipindahkan ke pulau berhampiran akan menziarahi perkuburan di Taman Laut
ini pada hari-hari kebesaran Islam seperti Hari Raya Aidil Fitri dan Raya Haji.