Jalanraya Spg Pulai (Ipoh)-Lojing-Gua Musang, MALAYSIA

(Wannor  telah melalui laluan  ini  pada Disember 2004  bermula di Simpang Pulai dekat Ipoh, PERAK dan berakhir di Gua Musang, KELANTAN. Maklumat di bawah tepat pada waktu tersebut).

 

 

Laluan yang dilalui oleh penulis adalah sebahagian dari projek jalanraya yang lebih besar yang merentasi 4 negeri iaitu PERAK, PAHANG, KELANTAN dan TERENGGANU. Peta ihsan pemilik hakcipta.

 

Pengenalan

 

Perlu diingat laluan ini bukanlah sebuah lebuhraya seperti PLUS atau LPT. Ia adalah jalanraya 2-lorong yang mempunyai bahu jalan yang agak luas yang boleh diguna sebagai lorong kecemasan. Di bahagian berbukit, terdapat lorong mendaki (climbing lane) untuk memudahkan kenderaan berat mendaki. Bila siap keseluruhannya projek jalanraya sepanjang 314km ini akan menghubungkan Simpang Pulai (dekat Ipoh, PERAK) dengan Kuala Berang, TERENGGANU. (Jarak Kuala Berang- Kuala Terengganu ialah 33 km). Ianya juga dikenali sebagai Jalanraya Timur Barat ke 2 selepas Jalanraya Jeli-Gerik. Projek ini menelan belanja RM1.6 bilion dan dilaksanakan dalam 10 pakej.

 

NOTA: Pengalaman penulis yang akan diceritakan di bawah hanyalah dari Simpang Pulai ke Gua Musang sahaja (lebih kurang 150km). Setakat Disember 2004 laluan Ciku ke Kuala Berang masih dalam pembinaan.

 

Laluan Simpang Pulai ke Gua Musang melalui Lojing boleh dikatakan belum siap sepenuhnya pada masa penulisan ini dan belum dibuka secara rasmi kepada orang ramai. Walau bagaimana pun terdapat beberapa pengguna bermaklumat yang yang menggunakannya atas risiko sendiri (termasuk penulis) untuk memendekkan masa perjalanan ke Kota Bharu, Kelantan dari Ipoh. Terdapat satu papan tanda “masuk dengan risiko sendiri” yang diletakkan oleh MTD (kontraktor utama projek ini) yang memberi amaran kepada pengguna. Mengikut pengalaman penulis, hanyalah 10km sahaja laluan yang boleh diklasifikasi merbahaya iaitu dari simpang ke Cameron Highlands (Kg Raja) hinggalah ke Lojing. Laluan ini merbahaya kerana sempit dan berliku di sepanjang lereng bukit dengan gaung curam di satu bahagian. Selebihnya dari Lojing ke Pos Blau ke Kuala Betis, tiada masalah --- jalanraya 2-lorong yang luas (lihat gambar). 

 

Walaupun begitu, laluan 10km yang ‘merbahaya’ boleh dilalui oleh semua kenderaan tetapi anda perlu lebih berhati-hati terutamanya di waktu hujan lebat. Seksyen ini masih dalam pembinaan.

 

Jika anda ingin melarikan diri dari kesibukan lebuhraya PLUS atau trunk road menuju ke Pantai Timur, gunalah laluan ini.  Jalanraya ini masih sunyi. Sesekali selepas 10 minit anda akan berjumpa sebuah atau dua kereta. Pemandangan sangat menarik dengan bukit bukau dan gunung ganang serta lembah menjadi landskap utama. Jangan lupa kamera anda!

 

Tempat-tempat menarik

 

  1. Perkampungan orang asli

Terdapat banyak perkampungan orang asli di sini dalam bentuk asal mereka. Rumah mereka dibina dari dinding dan lantai buluh dan atap dari daun-daun kayu. Terdapat juga penempatan-penempatan baru yang dibina oleh Kerajaan tetapi masih belum didiami (penulis tidak tahu mengapa). Penempatan baru ini seperti rumah peneroka Felda tetapi dibuat dari batu dan simen.

Penulis berjumpa sekumpulan kanak-kanak orang asli berjalan di tepi jalanraya tanpa memakai kasut/selipar. Mereka ini seperti kanak-kanak lain --- mudah mesra dan sangat ingin tahu. Selepas diberi salam, tahulah penulis bahawa mereka adalah orang Islam, walaupun anjing berkeliaran di bawah rumah. Pekerjaan utama masyarakat orang asli ialah menanam ubi kayu dan mencari kayu gaharu dalam hutan.  

  1. Simpang ke Cameron Highlands dan kawasan sekitar (Blue Valley)

Sebelum sampai ke Simpang ini anda akan berjumpa gerai-gerai di tepi jalan yang menjual hasil pengeluaran utama Cameron Highlands iaitulah sayur-sayuran, buah-buahan dan bunga-bungaan segar. Selepas simpang ini terdapat sebuat tempat yang dikenali sebagai Blue Valley di mana terdapat banyak ladang tomato, kubis dan sayur-sayuran yang lain. Kawasan Blue Valley tidak mempunyai papan tanda khusus --- anda perlu agak sendiri atau bertanya pekerja-pekerja kebun sayur.

  1. Lojing

Lojing ialah sebuah lembah terletak di sempadan Kelantan dan Pahang, dalam Jajahan Gua Musang dalam negeri Kelantan. KADA mempunyai pejabat dan kakitangan di sini untuk mengendalikan pusat latihan dan projek pertanian di sini. MTD selaku kontraktor utama projek jalanraya ini mempunyai pejabat tapak (site office) yang besar di sini. Terdapat banyak kabin-kabin sementara di sini yang menempatkan pekerja dan subkontraktor  mereka.

  1. Gua Musang

Gua Musang ialah ibu Jajahan Gua Musang dan bandar terbesar di Kelantan Selatan. Di sini terdapat semua kemudahan yang boleh didapati di mana-mana bandar besar. Bandar ini merupakan bandar persimpangan utama dalam sistem pengangkutan jalanraya dan keretapi di Kelantan selepas Kota Bharu dan Machang.

  1. Pos Brooke

Yang menarik perhatian penulis di sini hanyalah sebuah sekolah rendah yang besar berwarna kuning di lereng bukit.  Yang pastinya pelajar-pelajarnya terdiri dari anak-anak orang asli. Penulis merasakan sekolah ini seolah-olah ‘overkill’ kerana saiznya yang sangat besar jika dibandingkan dengan bilangan populasi masyarakat orang asli. (Harap tidak menjadi projek gajah putih)

  1. Pemandangan yang menarik

Jika anda pencinta alam semulajadi yang merindui sapaan angin gunung yang nyaman dan deruan air di jeram berdekataan dan sekali sekali kicauan burung, this is a place for you!

 

 

 

Kemudahan-kemudahan asas

 

Setakat tarikh penulisan ini, tiada kemudahan asas seperti tempat rehat, restoran, stesen minyak, surau dan tandas. Anda mesti memastikan tangki petrol kereta anda penuh sebelum berlepas dari Simpang Pulai. Selepas anda bertolak dari Simpang Pulai, kemudahan petrol yang seterusnya hanyalah di bandar Gua Musang yang mana jaraknya lebih kurang 150km dari SP. Alternatif lain ialah anda boleh melencong keluar ke Cameron Highlands tetapi stesen Petronas terdekat ialah Brinchang yang terletak 30 km ke dalam. Kecualilah anda memang berniat singgah di Cameron Highlands sambil menikmati udara gunung yang segar dan kebun sayur, jarak ini agak jauh dan off track.

 

Penulis berjumpa sebuah surau baru dekat Pos Blau tetapi tiada sumber air di sini kecuali air gunung yang mengalir turun. Surau boleh digunakan tetapi tandasnya memang teruk. Sekumpulan anak muda dalam Perdana hitam singgah untuk solat di surau ini menggunakan air bukit untuk berwuduk, (lihat imej).

 

Had Laju

 

Kategori jalanraya ini mengikut standard JKR ialah R3 iaitu jalanraya berliku di lereng bukit. Jadi design speed  hanyalah di sekitar 50 km/j.  Berdasarkan pengalaman penulis, had laju sebenar yang selesa dan masih boleh dikawal lebih kurang 80 km/j pada kebanyakan seksyen. Lebih dari itu kenderaan sukar dikawal kerana jalan yang berliku.  Jangan bimbang tiket saman kerana di sini tiada perangkap hadlaju atau pemeriksaan polis atau JPJ.

 

 

Kadar Tol

 

Tiada bayaran tol seperti di LPT atau PLUS.  

 

Susur Keluar (Exits)

Tiada persimpangan bertingkat di jalanraya ini, hanyalah simpang tiga atau simpang empat biasa sahaja tanpa lampu isyarat. Anda boleh keluar ke Cameron Highlands (Kg Raja), Lojing dan Kuala Betis. Pos Selim dan Pos Blau hanyalah perkampungan orang asli yang ditembusi oleh jalan raya ini.  Tiada tanda jalan menunjukkan anda sudah sampai ke tempat-tempat ini.

Tiada lampu-lampu jalan di persimpangan.

 

Bagaimana nak ke sini?

 

Dari KL, ikut Lebuhraya PLUS ke utara.  Exit di persimpangan Simpang Pulai. Selepas membayar tol, pusing kanan ke Ipoh (Jalan Gopeng) Selepas itu pusing kanan di persimpangan lampu isyarat pertama. Ikut papan tanda ke Cameron Highlands.

 

Dari Gua Musang, ikut arah ke Kuala Lumpur/K.Lipis. Ikut jalan depan stesyen minyak Petronas. Pusing kanan di persimpangan lampu isyarat. Ikut tanda arah ke Kuala Betis/Bertam/Lojing/Cameron Highlands. (lihat gambar).

 

Nota: Jalanraya Spg Pulai-Lojing-Gua Musang ditutup pada sebelah malam mulai November 2004 demi keselamatan pengguna.

 
Imej-imej

 

Dari pekan Gua Musang selepas stesyen minyak Petronas, anda akan sampai ke simpang ini.Pusing kanan dan ikut arah ke Kuala Betis/Lojing/ CH.

 

Simpang ke Cameron Highlands (Kg Raja dan Brinchang). Pandangan dari arah Simpang Pulai.

Anak-anak orang asli bermain di tepi jalan. Di hadapan  sekali ialah Said.

Kebun sayur di Blue Valley di Cameron Highlands.

Sebuah jambatan dalam pembinaan dekat Lojing.

Suasana dingin dan berkabus  di Lojing. Perhatikan pejabat KADA di penjuru atas sebelah kiri. Suhu di sini sekitar 16C ketika hujan.

Kebun sayur di Blue Valley.

Sungai dan jeram di sebelah jalanraya Air keruh disebabkan projek jalanraya berhampiran.

Nenek kebayan dekat jalan masuk ke Pusat Latihan KADA di Lojing.

Sebuah sekolah rendah yang besar dan moden dekat Pos Brooke. Saiznya agak ‘overkill’. 

Perumahan orang asli di lereng bukit. Pekerjaan utama mereka ialah menanam ubi kayu dan mancari kayu gaharu.

Sebuah rumah orang asli di Pos Brooke.

Jalanraya kelas R3 (mengikut JKR standard) ini mempunyai  bahu jalan yang luas dan lorong mendaki.

.

Kemudahan sebegini hebat tetapi sayang sekali tidak digunakan sepenuhnya. Antara sebabnya ialah kurang publisiti dan tiada kemudahan asas sepanjang jalanraya ini.

Sebuah surau baru yang tidak dijaga dekat Pos Belau.

Pekerja MTD membersih tanah runtuh di Lojing. Tanah runtuh adalah isu besar di sini.

Lereng bukit yang diturap dengan konkrit mengurangkan hakisan. Perhatikan pokok-pokok di puncak bukit yang masih hidup.

Simpang ke Bandaraya  Ipoh (ke kanan) di Simpang Pulai. Simpang Pulai ialah sebuah pekan kecil, lebih kurang 10km dari Ipoh. Ianya juga adalah salah satu exit dari Lebuhraya PLUS ke Ipoh.

 

______________________________________________________________________________

Nota: Semua teks dan imej adalah kepunyaan penulis. Hubungi beliau di wannor@bumisepi.net