Beirut, Lebanon

(Kembara ini dilaksanakan oleh Wan Nor  pada September 2003. Dalam kembara ini, beliau memasuki negara Lebanon melalui jalan darat dari Damascus di Syria.  Maklumat di bawah tepat pada waktu tersebut).

 

 

 

Pengenalan

 

Map of Lebanon

Beirut – ibu negara Lebanon -- terletak di pinggir Laut Mediterranean. (Peta kepunyaan pemilik hakcipta, jika ada.)

 

Lubnan (atau Lebanon dalam Bahasa Inggeris) ialah sebuah negara di Timur Tengah. Ianya disempadani oleh Syria dan Israel di timur dan Lautan Mediterranean di barat. Beirut ialah bandar terbesar dan juga ibu negara Lebanon. Penduduk Beirut yang di sekitar 1.8 juta orang terdiri dari Kristian dan Muslim. Penduduk Kristian terdiri dari berbagai mazhab. Muslim terdiri dari Sunni, Syiah dan minoriti Druze.  Beirut terletak di pinggir Lautan Mediterranean, lebih kurang 80 km ke barat Damshiq (atau Damascus dalam Bahasa Inggeris). Lubnan ialah sebuah negara yang kecil berbanding Syria dan Jordan dan memandu dari satu hujung sempadan ke hujung satu lagi mengambil masa lebih kurang 3-4 jam sahaja. Penduduk di Kawasan Bandar dan pantai sangat liberal dan moden terbukti dengan cara pemakaian wanitanya dan kereta dijalanraya. Berbeza dengan Syria, restoran makanan segera seperti Mc Donald’s, KFC dan Burger King sangat biasa di sini.

 

Perjalanan dari Damshiq mengambil masa 2 jam perjalanan (termasuk pemeriksaan imigresen dan kastam di sempadan). Disebabkan kesuntukan masa, kami pergi ke Beirut dan balik semula ke Damshiq, Syria pada hari yang sama. Aku terpaksa bergegas ke Amman, Jordan untuk penerbangan balik ke Malaysia dalam masa kurang dari 48 jam. Dari Damshiq anda tiada masalah mendapat teksi ke  Beirut kerana laluan ini memang popular. Setiap teksi boleh muat 5 hingga 6 orang termasuk pemandu dan teksi hanya akan berjalan bila penuh. Tambang USD10 setiap orang sehala. Jika anda mempunyai banyak masa, anda boleh juga menaiki bas ke Beirut pada kadar separuh tambang teksi. Teksi dari Syria akan berhenti di stesen teksi Cola di Beirut dan dari situ kami mengambil teksi tempatan ke tempat2 menarik di Beirut. Kami terpaksa kembali ke Cola untuk mengambil teksi ke Damascus pada sebelah petang.

 

 

Mendapat visa masuk di sempadan Syria/Lebanon

 

Menyeberangi sempadan daratan ke Lubnan hanya boleh dibuat dari sebelah Syria pada waktu sekarang disebabkan konflik Israel-Palestin. Ada beberapa Bandar sempadan di Syria yang mana anda boleh memasuki Lubnan daripadanya. Dari Damshiq, jalanraya sebelah Syria memang baik. Melepasi sempadan Syria/Lubnan, jalan agak sempit kerana kawasan bergunung-ganang.  Salah satu kawasan sekuriti yang akan dilalui ialah Bukit Golan, satu kawasan yang pernah diduduki tentera Israel semasa perang tahun 1967.

 

Visa masuk (“entry visa”) boleh didapati dengan mudah di sempadan darat (‘land border’). Anda Cuma memerlukan passport antarabangsa Malaysia yang masih hidup untuk mendapatkan visa masuk. Tiada bayaran untuk visa masuk ke Lubnan dengan syarat kita tidak tinggal di sana melebihi 48 jam. Tiada bayaran keluar (“departure tax”) dikenakan.  

 

Pegawai imigresen di sempadan kebanyakannya memahami Bahasa Inggeris yang mudah. Selalunya pemegang passport antarabangsa Malaysia tiada masalah menyeberangi sempadan (terima kasih kepada pemimpin kita yang menjual nama Malaysia di luar negara!). Pemandu teksi Damascus-Beirut-Damascus akan memberitahu kita apa yang perlu dibuat di kaunter imigresen sempadan dan kadang-kadang mereka sendiri yang akan beratur untuk kita. Mereka akan menunggu sehingga proses mendapatkan visa siap. Pengalaman saya menunjukkan masa menunggu di kaunter imigresen tidaklah terlalu lama - purata tidak kurang dari satu jam jika pasport tiada masalah dan borang diisi lengkap. Pastikan juga pasport anda tiada bukti memasuki Israel.  Sediakan wang secukupnya untuk bayaran visa. Matawang dolar US diterima dengan meluas. Imigresen Lubnan peramah dan mesra dan boleh bercakap Bahasa Inggeris dengan baik.

 

 

Kos dan Matawang

 

Matawang Lubnan ialah Lubnan Lira (atau Lubnan Pound) dengan kadar tukaran 1USD bersamaan 1500 Lubnan Lira pada masa lawatan ini.

Kos perjalanan ini agak konservatif. Tambang teksi Damshiq-Beirut-Damshiq ialah USD20 seorang (pergi-balik). Visa transit di Lubnan adalah percuma untuk 48 jam pertama. Anda perlu membayar USD6 sekali lagi untuk visa memasuki Syria semula dari Lubnan.

 

 

Tempat-tempat  menarik

 

Kesuntukan masa menyebabkan kami tiada rancangan besar di kota Beirut. Pemandangan kota ini amat menarik terutamanya di sekitar pantai Manara di waktu senja. Antara tempat yang sempat di lawati ialah Pantai Manara, Hamra Street dan kereta kabel telefrique cable car di Jounieh. Bayaran naik kereta kabel ini ialah USD5 untuk setiap orang. Di setiap stesen perhentian kereta kabel, terdapat kedai makan dan kedai cenderahati. Kebanyakan kedai cenderahati terukir lambang kebangsaan negara Lebanon iaitu pokok cedar. Pekedai selalunya boleh bercakap Bahasa Inggeris. Harga boleh dirunding terutamanya jika volume tinggi.

 

Cadangan saya: Jika anda mempunyai banyak masa (dan extra budget, of course), tinggallah lebih lama di Lebanon. Banyak lagi tempat menarik di sekitar Beirut, seperti muzium perang, dll. Lembah Balbek di kawasan tanah tinggi juga sesuai untuk dilawati.

Saya akan kembali ke Beirut insyaallah, kalau umur panjang dan murah rezeki.

 

 

Bagaimana nak ke Beirut?

 

Udara:

MAS terbang terus dari KLIA ke Beirut. Periksa jadual penerbangan ini.

Beberapa syarikat penerbangan timur tengah seperti Qatar Airways, Royal Jordanian dan Gulf Air juga terbang ke sini. Lapangan terbang antarabangsa Beirut (kod: BEY) terletak 8 km dari pusat bandaraya.

 

Darat:

Dari Damascus, SYRIA, anda boleh mengambil teksi atau bas. Tambang teksi Damascus-Beirut-Damascus ialah USD20 untuk setiap penumpang. Teksi besar kontinental tetapi tidak berhawa dingin. Pemandu saya agak brutal tetapi peramah. Anda boleh mengambil teksi di stesen teksi Baramkeh di tengah-tengah bandaraya Damascus yang berdebu itu. Di Beirut, teksi akan berhenti di stesen Cola.

Pemandu teksi akan berhenti sekejap di kedai runcit sebelum pemeriksaan imigresen untuk tujuan menukar matawang (both ways). Pastikan anda mendapat matawang Lebanese Pound. Bawa kalkulator sekali kerana angkanya besar-besar belaka, tetapi nilainya tak seberapa.

 

 
Imej-imej

 

 

Welcome to Beirut, Lebanon! Pemandangan dari lebuhraya berbukit dari Syria. 

Penulis bersama seorang pelajar Malaysia di Pantai Manara, Beirut.

Bandaraya Beirut pada waktu malam. Pemandangan dari stesen kereta kabel Telefrique di pucak bukit Jounieh.

Senja di pinggir Laut Mediterranean di Beirut. Pelbagai struktur geografi yang dibentuk dari proses hakisan semulajadi boleh dilihat di sepanjang pantai. Kawasan ini menjadi tumpuan pelancong seluruh dunia.

Pemandu teksi kami di Beirut ialah Muhammad Ibrahim Naser.

Kereta mewah menjalari  Jalan Hamra di pusat Bandar Beirut. BMW menjadi favorite golongan berada di Beirut. Satu dari empat kereta yang ditemui penulis ialah BMW.

Anda hanya memerlukan passport antarabangsa Malaysia yang masih laku untuk mendapat visa masuk ke Lebanon. Visa boleh didapati dengan mudah di sempadan darat (land border) Syria-Lebanon. Visa transit adalah percuma tetapi anda mesti keluar dari Lebanon dalam masa 48 jam.

 

Flag of Lebanon

Bendera kebangsaan Lebanon. Pokok cedar menjadi lambang negara.

 

________________________________________________________________________________________________________

 

Nota:

Edisi lengkap kembara ini tersedia dalam bentuk buku. Lebih banyak imej dan panduan yang berguna dalam buku ini. Pastikan anda mendapat satu salinan buku ini sebelum berangkat ke kota Beirut!